KUALA LUMPUR – Kes kemalangan melibatkan sebuah treler yang bergesel dengan beberapa kenderaan lain di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Jejantas Ayer Keroh, Lebuh Raya Utara-Selatan, disiasat di bawah Seksyen 48(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, kemalangan itu berlaku pada semalam sekitar pukul 9.39 pagi, di Kilometer 205 arah utara.
Menurutnya, siasatan awal mendapati treler tanpa muatan berkenaan memasuki laluan kenderaan berat sebelum mendapati terdapat beberapa kenderaan berhenti di bahu kiri dan kanan jalan, selain laluan yang sebahagiannya dihalang kenderaan lain.
“Akibat keadaan tersebut, treler berkenaan telah bergesel dengan empat buah kenderaan di kiri dan kanan laluan, sekali gus menyebabkan kerosakan pada kenderaan-kenderaan terbabit.
“(Bagaimanapun), tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jika disabitkan kesalahan, katanya, pesalah boleh dikenakan denda antara RM1,000 hingga RM5,000, atau penjara sehingga setahun, atau kedua-duanya sekali.
Beliau turut menasihatkan pengguna lebuh raya supaya mematuhi peraturan jalan raya serta lebih berwaspada, khususnya ketika berada di kawasan rehat, laluan susur masuk dan lebuh raya yang sesak.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan, sebuah treler dilaporkan melanggar beberapa kereta yang diletakkan di tepi laluan di kawasan R&R Jejantas Ayer Keroh.
Menerusi rakaman video yang dikongsi di TikTok, beberapa kenderaan yang diletakkan di bahu jalan itu mengalami kerosakan selepas dilanggar dan diheret treler yang mahu memasuki laluan ke R&R tersebut. – KOSMO! ONLINE
The post Treler gesel kenderaan: Siasatan di bawah Seksyen 48(1) appeared first on Kosmo Digital.
https://www.kosmo.com.my/2025/12/29/treler-gesel-kenderaan-siasatan-di-bawah-seksyen-481/?utm_source=dlvr.it&utm_medium=wordpress&utm_campaign=treler-gesel-kenderaan-siasatan-di-bawah-seksyen-481




