SEGAMAT – Hujan berterusan sejak semalam menyebabkan beberapa kawasan rendah di daerah ini ditenggelami air hari ini sehingga menyebabkan 167 mangsa dipindahkan ke tujuh pusat pemindahan sementara (PPS).
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Datuk Asman Shah Abd Rahman berkata, mereka terdiri daripada 55 keluarga yang terjejas dipindahkan ke tujuh PPS sejak pukul 8 malam ini.
Menurutnya, antara PPS yang dibuka ialah Balairaya Gemereh 4, Dewan Komuniti Kampung Tasek, Balairaya Kampung Orang Asli Segamat dan Sekolah Renjah Jenis Kebangsaan (SJKC) Tah Kang, Gemas Baru.
“PPS turut dibuka di Balairaya Kampung Paya Lebar, Balairaya Kampung Jabi serta Dewan Serbaguna Pekan Air Panas.
“Penduduk yang terjejas melibatkan Kampung Seberang Batu Badak, Kampung Batu Lima, Kampung Sermin, Kampung Paya Lebar, Kampung Pekan Air Panas, Kampung Orang Asli Sungai Kecil serta Kampung Baru Gemas,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, Asman Shah berkata, Jalan Jabi-Bukit Tempurong ditutup kepada semua kenderaan susulan air naik sehingga 0.38 meter.
Jelasnya, paras air dua sungai iaitu Sungai Muar di Kampung Awat dan Sungai Muar di Buloh Kasap masih terus melepasi paras bahaya.
“Sungai Muar di Kampung Awat merekodkan bacaan 20.13 meter (m) melepasi paras bahaya 19.95m manakala Sungai Muar di Buloh Kasap. 8.64 m melebihi paras 8.53m,”katanya.-KOSMO! ONLINE
The post Tujuh PPS dibuka di Segamat appeared first on Kosmo Digital.
https://www.kosmo.com.my/2025/12/29/tujuh-pps-dibuka-di-segamat/?utm_source=dlvr.it&utm_medium=wordpress&utm_campaign=tujuh-pps-dibuka-di-segamat




