AYER KEROH – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa seluruh jentera parti merapatkan barisan dan melipatgandakan gerak kerja kempen serta-merta bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
Beliau menegaskan, setiap anggota parti di segenap peringkat perlu memainkan peranan aktif secara bersepadu demi memastikan kelancaran strategi gabungan itu sepanjang tempoh pilihan raya.
“Gerakan kita mesti bermula dari sekarang… usaha kita, kerja keras kita, kerja kempen kita,” tegas beliau ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon BN di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), malam Sabtu.
BN sebelum ini mengesahkan bakal bertanding di 21 daripada keseluruhan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.
Dalam perkembangan sama, Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menyuarakan keyakinan bahawa pertaruhan lapan muka baharu mampu menyuntik dinamika segar untuk mempertahankan penguasaan di kesemua 21 kerusi yang ditandingi.
Menjelaskan lanjut mengenai barisan calon berkenaan, Ab Rauf berkata pemilihan itu berasaskan kajian teliti terhadap demografi dan keperluan pengundi setempat, sekali gus menepis spekulasi wujudnya pengguguran calon secara sengaja.
“Pemilihan itu bertujuan memberi ruang kepada muka baharu untuk meneruskan khidmat kepada rakyat setempat selain memastikan agenda yang dilaksanakan kerajaan pada penggal lepas dapat diteruskan.
“Bagi yang tidak dicalonkan, saya bukan menggugurkan… ada yang tidak mahu lagi meneruskan jawatan, jadi kita beri ruang kepada muka-muka baharu ini,” katanya pada sidang media selepas majlis itu.
Lapan wajah baharu yang diumumkan ialah Datuk Abdul Hakim Abdul Wahid (Lendu), Norazril Abdul Aziz (Rembia), S. Nadarajah (Gadek), Datuk Dr Mustafa Musa (Durian Tunggal), Siti Aisyah Mahmood (Pengkalan Batu), Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali (Ayer Molek), Datuk Azman Abdullah (Serkam) dan Jezleel Pit (Sungai Rambai).
Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan pada 23 September lalu. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon pada 31 Oktober ini, disusuli pengundian awal pada 10 November dan hari pengundian rasmi pada 14 November.



