KUALA LUMPUR – Parti Belia Sejahtera Malaysia (PRISMA) melakar anjakan paradigma dalam Pilihan Raya Parlimen Belia Malaysia (PBMy) apabila muncul sebagai parti yang mengangkat perwakilan Orang Kurang Upaya (OKU) ke pentas perbahasan nasional. Langkah progresif ini sekali gus meletakkan PRISMA di hadapan dalam memimpin pasak politik belia yang lebih inklusif, adil, dan menyeluruh.
Melalui sistem Perwakilan Berkadar yang diperkenalkan PBMy, PRISMA memanfaatkan platform tersebut secara maksimum dengan membuka ruang seluas-luasnya buat pemimpin belia minoriti bertanding di bawah tiket parti mereka. Di bawah teras perjuangan “Suara OKU, Hak Saksama, Masa Depan Bersama”, wadah politik belia ini komited membawa anjakan dalam agenda kebajikan, terutamanya membabitkan reformasi akses pendidikan tinggi, peluang kerjaya, serta pemerkasaan kemudahan fasiliti mesra OKU di seluruh negara.
Komitmen ini diterjemahkan secara nyata melalui bentuk-bentuk program dan sokongan penuh parti terhadap barisan calonnya, termasuk Zulfaqar Aslam di Terengganu dan Nur Fatihah Jasmi di Negeri Sembilan. Menurut kenyataan jurucakap PRISMA, gandingan kepimpinan ini menjadi bukti nyata kesediaan PRISMA untuk meruntuhkan tembok diskriminasi fizikal dalam ruang pembuat dasar. Dengan menyatukan keberanian calon-calon ini di bawah satu payung perjuangan, PRISMA bukan sahaja membawa suara golongan kurang upaya ke dewan persidangan, malah menetapkan penanda aras baharu bahawa landskap kepimpinan belia masa kini harus diraikan tanpa ada kelompok yang terpinggir.


