MELAKA – MCA menegaskan pendirian tegas untuk tidak mengiktiraf mana-mana calon parti itu yang diumumkan oleh Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, susulan ketiadaan lampu hijau dan persetujuan rasmi daripada pucuk pimpinan tertingginya.
Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menyifatkan tindakan mengumumkan calon secara unilateral tanpa memuktamadkan rundingan bersama adalah sesuatu yang tidak wajar diterima, apatah lagi apabila kerusi tradisi yang ditandingi parti berkenaan didakwa telah diserahkan kepada pihak lain.
Beliau mendedahkan bahawa kepimpinan MCA pada awalnya tidak dimaklumkan mengenai pengumuman senarai calon berkenaan, sebaliknya hanya dijemput hadir bagi menghadiri sesi pelancaran jentera pilihan raya di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), malam tadi.
“Jika mereka umumkan pun, kami tidak akan mengakuinya. Jika pengerusi MCA sendiri tidak menandatanganinya, bagaimana ia boleh diiktiraf?
“Calon mestilah datang daripada cadangan pucuk pimpinan parti. Ini adalah prosedur operasi standard (SOP) setiap parti politik,” tegasnya pada sidang media selepas bertindak keluar meninggalkan dewan (walk out) sebelum ucapan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bermula.
Mengulas lanjut mengenai kedudukan parti dalam gabungan berkenaan, Ka Siong mengingatkan bahawa MCA merupakan rakan sekutu tradisi UMNO yang telah bersama mengharungi arena politik negara selama berdekad-dekad lamanya.
Justeru, tindakan meminggirkan pandangan parti komponen itu memberi gambaran seolah-olah MCA hanya akur dan berdiam diri, sedangkan parti terbabit mempunyai maruah serta prinsip yang perlu dipertahankan.
Ditanya sama ada kemelut itu menjadi isyarat MCA bakal memboikot PRN kali ini, Ka Siong menyatakan masih terdapat ruang waktu sebelum hari penamaan calon untuk pucuk pimpinan tertinggi BN di peringkat pusat campur tangan bagi memperbetul serta menyelesaikan pertikaian pembahagian kerusi tersebut secara adil.
Terdahulu, pengumuman 21 calon BN menyenaraikan dua penyandang kerusi daripada MCA, iaitu Datuk Ngwe Hee Sem bagi DUN Machap Jaya dan Datuk Lim Ban Hong di DUN Kelebang.



