SHAH ALAM – PAS wajar bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia pada pilihan raya akan datang, kata Ketua Pemuda PAS Selangor, susulan pertemuan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan itu, Muhammad Hilman Idham dengan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mencetuskan pelbagai tafsiran politik.
“Pandangan saya, PAS wajib bertanding di Gombak Setia pada pilihan raya akan datang. Insya-Allah, Pemuda PAS Selangor siap siaga membantu,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, PAS mempunyai barisan calon yang berintegriti serta berakhlak untuk diketengahkan, sekali gus menolak tanggapan bahawa parti itu ketandusan kepimpinan atau calon berkualiti.
“PAS mempunyai ramai calon berintegriti serta berakhlak untuk diketengahkan. Isu individu bukan keutamaan, sebaliknya kekuatan dan keputusan parti mesti dihormati,” katanya.
Mengulas keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor lalu, beliau mengingatkan bahawa kerusi DUN Gombak Setia dimenangi calon PN dengan majoriti tipis sebanyak 58 undi, sekali gus membuktikan kawasan tersebut memerlukan pendekatan lebih kukuh dan menyeluruh bagi memastikan kemenangan lebih selesa pada masa akan datang.
Dalam PRN berkenaan, Muhammad Hilman Idham memperoleh 30,299 undi, mengatasi calon Pakatan Harapan yang meraih 30,241 undi, manakala seorang calon bebas memperoleh 1,076 undi.
Ketua Pemuda PAS Selangor turut menegaskan bahawa PAS sebagai parti tunjang dalam PN tidak seharusnya diketepikan daripada perbincangan kepimpinan gabungan itu.
“PAS mempunyai kekuatan jentera, kepimpinan dan sokongan akar umbi yang besar. Usaha untuk menyisihkan atau menghalang PAS daripada menerajui PN hanya akan melemahkan gabungan,” katanya.
Beliau berkata, Pemuda PAS Selangor akan terus memainkan peranan aktif dalam memastikan kesiapsiagaan jentera parti serta mempertahankan prinsip perjuangan PAS dalam PN.
“Gombak Setia adalah isyarat jelas. PAS bersedia dan rakyat sedang memerhati,” katanya.






