JOHOR BAHRU – Polis Daerah Johor Bahru Utara mengesahkan telah mengesan satu rakaman video tular di media sosial yang memaparkan seorang lelaki menunggang motosikal ditampar oleh individu lain di sebuah stesen minyak di kawasan Taman Perling, di sini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintenden Azrol Anuar Nor berkata, video berkenaan dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook dikenali sebagai Komuniti Johor dan dipercayai berlaku pada 11 Januari 2026, kira-kira pukul 6.50 petang.
“Hasil siasatan awal mendapati individu yang terlibat telah dikenal pasti sebagai seorang anggota polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara dan sedang bercuti semasa kejadian berlaku,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, setakat ini pihak polis belum menerima sebarang laporan polis berhubung kejadian tersebut, namun mangsa telah dikenal pasti dan usaha sedang dijalankan untuk mengesan mangsa bagi membantu siasatan lanjut.
Tambahnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius sebarang dakwaan kesalahan atau salah laku yang melibatkan pegawai dan anggota polis.
“Sehubungan itu, satu siasatan dalaman telah dibuka dan tindakan tegas akan diambil sekiranya didapati berlaku sebarang pelanggaran undang-undang, peraturan atau tatakelakuan yang telah ditetapkan,” jelasnya.
Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes tersebut dan diminta memberi kerjasama sekiranya mempunyai maklumat berkaitan kejadian berkenaan.
“Pihak polis memberi jaminan bahawa siasatan akan dijalankan secara telus, adil dan berintegriti,”katanya.-KOSMO! ONLINE
The post Penunggang motosikal kena tampar, polis buka kertas siasatan appeared first on Kosmo Digital.
https://www.kosmo.com.my/2026/01/12/penunggang-motosikal-kena-tampar-polis-buka-kertas-siasatan/?utm_source=dlvr.it&utm_medium=wordpress&utm_campaign=penunggang-motosikal-kena-tampar-polis-buka-kertas-siasatan




