KUALA LUMPUR, 12 JANUARI 2026: Ketua Pemuda Malaysia Indian People Party (MIPP), Justin Prabakaran, mengumumkan bahawa pihaknya bersama Ketua ARMADA BERSATU Malaysia dan Ketua Pemuda GERAKAN mencadangkan agar Tan Sri Muhyiddin Yassin kekal sebagai Pengerusi Perikatan Nasional.
Pihak berkenaan didakwa telah mengadakan pertemuan dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bukit Damansara pagi ini.
Pertemuan itu bertujuan menyampaikan pandangan dan pendirian sayap pemuda masing-masing berhubung kedudukan Pengerusi Perikatan Nasional (PN).
Dalam kenyataan media, Justin Prabakaran menegaskan bahawa pihaknya menghormati keputusan Muhyiddin untuk meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN. Namun, perletakan jawatan tersebut diyakini memberi impak besar kepada imej dan strategi PN menjelang pilihan raya umum.
Menurut beliau, Perikatan Nasional perlu diterajui oleh seorang figura yang mampu menyatukan parti dan menggarap sokongan majoriti rakyat Malaysia.
“Perihal ini mesti diselesaikan secara konsensus sebagaimana diperuntukkan dalam Fasal 8.3(I) Perlembagaan Perikatan Nasional,” kata Justin.
Beliau menambah bahawa ketiga-tiga sayap pemuda berpendirian jawatan Pengerusi PN mestilah diisi oleh Presiden parti yang mempunyai kuasa eksekutif dan autoriti membuat keputusan dasar, demi kelancaran pentadbiran gabungan. Justin menegaskan bahawa PN wajar diperkasakan dengan etika gabungan, disiplin pentadbiran, dan kerjasama politik dengan parti-parti yang terlibat dalam Ikatan Prihatin Rakyat.
Berhubung tafsiran bahawa jawatan Pengerusi PN boleh disandang oleh mana-mana pemimpin selain Presiden parti, Justin merujuk Fasal 20 yang menyatakan.
“Jika timbul sebarang kekeliruan tentang pentafsiran, susunan dan pengertian mengenai mana-mana peruntukan di dalam fasal Perlembagaan ini atau mana-mana peraturan dan perintah tetapnya, maka tafsiran, susunan dan pengertian mengenai fasal itu yang dibuat dengan suara majoriti ahli-ahli Majlis Tertinggi adalah terpakai dan muktamad.”katanya.
Sehubungan itu, Justin dan ketiga-tiga sayap pemuda mencadangkan agar YB Tan Sri Muhyiddin Yassin kekal sebagai Pengerusi Perikatan Nasional, menekankan kepimpinan yang absah, inklusif, diterima rakyat pelbagai kaum, dan mempunyai rekod prestasi yang diyakini rakyat.



