KUALA LUMPUR – Seorang lelaki ditahan selepas disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol sebelum merempuh palang keselamatan Pintu 2 Istana Negara, di Jalan Changkat Semantan, awal pagi tadi.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur menerima maklumat mengenai kejadian kira-kira pukul 3.30 pagi.
“Siasatan awal mendapati kereta jenis Toyota Vios yang dipandu seorang lelaki berusia 21 tahun dari arah Bukit Damansara telah merempuh ‘bollard pole’ dan ‘barrier gate’ Pintu 2 Istana Negara.
“Akibat kemalangan itu, tiada kecederaan dilaporkan sama ada kepada pemandu atau mana-mana pihak lain. Bagaimanapun, kejadian tersebut menyebabkan kerosakan pada bahagian hadapan kenderaan serta palang keselamatan terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, siasatan dijalankan di lokasi kejadian termasuk mendapatkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) dan mengambil rakaman percakapan serta menjalankan ujian pernafasan terhadap pemandu.
“Hasil ujian mendapati kandungan alkohol dalam badan pemandu adalah 166mg/100ml, iaitu melebihi had yang ditetapkan,” katanya.
Mohd. Zamzuri berkata, pemandu telah ditahan dan kertas siasatan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya pada hari yang sama sebelum mendapat arahan agar pemandu dituduh di bawah Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Tambahnya, suspek dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, Jalan Duta kira-kira pukul 11 pagi hari ini. – KOSMO! ONLINE
The post Lelaki bawah pengaruh alkohol rempuh Pintu 2 Istana Negara appeared first on Kosmo Digital.
https://www.kosmo.com.my/2026/01/23/lelaki-bawah-pengaruh-alkohol-rempuh-pintu-2-istana-negara/?utm_source=dlvr.it&utm_medium=wordpress&utm_campaign=lelaki-bawah-pengaruh-alkohol-rempuh-pintu-2-istana-negara




