
SHAH ALAM, 26 Mac – Dewan Pemuda PAS Selangor menggesa kerajaan supaya menyemak semula keberkesanan bantuan tunai BUDI Diesel Individu susulan peningkatan harga diesel di Semenanjung Malaysia yang dilaporkan mencecah RM5.52 seliter.
Naib Ketua Pemuda PAS Selangor, Muhammad Faizzuddin Mohd Zai berkata, situasi semasa menunjukkan wujud ketidakseimbangan ketara antara pengguna petrol RON95 dan diesel persendirian dari segi beban kos bahan api.
Menurut beliau, bagi penggunaan purata 200 liter sebulan, pengguna RON95 hanya membelanjakan sekitar RM398 berdasarkan harga subsidi RM1.99 seliter. Sebaliknya, pengguna diesel walaupun menerima bantuan RM300, masih perlu menanggung kos bersih sekitar RM804.
“Ini menunjukkan pengguna diesel membayar hampir dua kali ganda berbanding pengguna petrol bagi penggunaan yang sama,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau turut menyatakan bahawa bantuan RM300 ketika ini hanya mampu menampung kira-kira 54 liter diesel, yang menurutnya tidak mencukupi khususnya bagi pemilik kenderaan seperti pikap dan van yang digunakan untuk tujuan perniagaan mikro dan sara diri.
“Golongan ini berisiko tinggi terkesan dengan tekanan kos operasi dan inflasi sekiranya tiada penyesuaian dibuat,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar kadar bantuan dinaikkan kepada RM700 sebulan, yang disifatkan sebagai “titik kesetaraan” bagi merapatkan jurang kos antara pengguna diesel dan petrol.
Dalam masa sama, beliau merujuk kepada kenyataan Kementerian Kewangan bahawa hanya sekitar 320,000 individu layak menerima subsidi tersebut, dan menegaskan golongan ini wajar diberi perhatian sewajarnya.
Tambahnya, ramai pengguna memilih kenderaan diesel sebelum ini atas faktor penjimatan kos, namun kini berdepan tekanan kewangan akibat perubahan dasar harga bahan api.
“Jika objektif subsidi bersasar adalah untuk m
embantu golongan layak, maka perbezaan jenis kenderaan tidak sepatutnya menyebabkan beban ekonomi yang tidak seimbang,” katanya.
