
KUALA LUMPUR, 30 Mac – Naib Ketua Pemuda PAS Negeri Selangor, Muhammad Faizzuddin Mohd Zai, mengkritik dasar kerajaan berhubung kenaikan harga diesel yang disifatkan membebankan golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
Dalam satu kenyataan, beliau mempersoalkan pendekatan pentadbiran Anwar Ibrahim yang menurutnya tidak selari dengan prinsip awal kerajaan untuk mengurangkan beban golongan miskin dengan menyasarkan subsidi kepada golongan berpendapatan tinggi.
Menurut beliau, harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia yang mencecah RM5.52 seliter telah memberi tekanan besar kepada kira-kira 300,000 pengguna diesel persendirian dalam kalangan B40 dan M40.
“Bagi penggunaan sekitar 200 liter sebulan, golongan ini terpaksa menanggung kos bersih sekitar RM804 walaupun selepas menerima bantuan tunai RM300 melalui inisiatif BUDI Diesel,” katanya.
Sebaliknya, beliau mendakwa golongan T20 yang menggunakan petrol RON95 masih menikmati subsidi bahan api, dengan kos sekitar RM398 bagi jumlah penggunaan yang sama.
“Perbezaan ini menimbulkan persoalan keadilan apabila golongan berpendapatan rendah dilihat menanggung kos lebih tinggi berbanding golongan berpendapatan tinggi,” ujarnya.
Beliau turut menyifatkan bantuan RM300 sebulan sebagai tidak lagi mencukupi dalam keadaan harga diesel semasa, dan mencadangkan agar kadar bantuan tersebut dikaji semula, termasuk kemungkinan peningkatan kepada sekurang-kurangnya RM500 sebulan.
Dalam pada itu, beliau menggesa kerajaan untuk menilai semula dasar sedia ada bagi memastikan ia lebih sejajar dengan prinsip keadilan sosial serta tidak memberi kesan negatif kepada kelangsungan hidup rakyat, khususnya mereka yang bergantung kepada diesel untuk pekerjaan dan perniagaan kecil.
Setakat ini, pihak kerajaan belum mengeluarkan kenyataan rasmi sebagai maklum balas terhadap kritikan tersebut.
