
SHAH ALAM, 19 Mei – Semua pihak diingatkan agar tidak mempolitikkan Perlembagaan Persekutuan sebaliknya menghormati kedudukan institusi Raja-Raja Melayu sebagai tonggak kestabilan negara.
Ahli politik Mohamed Sukri menegaskan bahawa institusi Raja bukan sekadar simbol adat, sebaliknya memainkan peranan penting dalam sistem Raja Berperlembagaan yang diamalkan di Malaysia.
Beliau berkata, “Jangan melaungkan ‘Rule of Law’ jika peranan Raja dalam sistem kenegaraan hanya mahu dihormati ketika memotong reben dan menghadiri istiadat.”
Tambah beliau, pendekatan memilih tafsiran Perlembagaan mengikut kepentingan politik hanya akan melemahkan kefahaman rakyat terhadap struktur sebenar negara.
Dalam kenyataan sama, beliau menegaskan bahawa institusi Raja perlu dilihat sebagai payung penyatuan rakyat, bukan dijadikan bahan pertikaian politik kepartian.
Beliau turut mengingatkan bahawa kestabilan negara bergantung kepada keseimbangan antara demokrasi berparlimen dan peranan Raja Berperlembagaan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Institusi Raja adalah sebahagian daripada kerangka Perlembagaan yang tidak boleh dipisahkan atau ditafsir secara selektif mengikut kepentingan mana-mana pihak,” katanya.
Kenyataan itu dibuat susulan beberapa perdebatan politik semasa yang menyentuh peranan institusi diraja dalam urusan pentadbiran dan politik negara.

