
SEPANG, 19 Mei – Seramai 25 rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 disahkan ditahan tentera rejim Israel selepas kapal mereka dipintas di perairan Mediterranean.
Sumud Nusantara Command Centre (SNCC) memaklumkan kesemua rakyat Malaysia itu berada dalam 15 kapal flotila yang menyertai misi bagi membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza sebelum ditahan pihak tentera laut Israel.
Menurut SNCC, “Sehingga kini, SNCC masih belum menerima pengesahan mengenai status kesemua aktivis yang ditahan, termasuk lokasi dan destinasi pemindahan mereka.”
Insiden tersebut dilaporkan berlaku ketika konvoi kapal berkenaan sedang meneruskan pelayaran menuju Gaza sebagai simbol solidariti antarabangsa terhadap rakyat Palestin yang berdepan krisis kemanusiaan berterusan akibat serangan rejim Zionis.
SNCC turut menjelaskan bahawa pihak mereka sedang berusaha mendapatkan maklumat lanjut melalui saluran diplomatik serta rangkaian kemanusiaan antarabangsa bagi memastikan keselamatan semua aktivis yang terlibat.
Misi GSF 2.0 menghimpunkan aktivis dari pelbagai negara dengan tujuan menyalurkan bantuan serta memberi tekanan antarabangsa terhadap sekatan yang dikenakan ke atas Gaza.
Setakat ini, belum ada kenyataan rasmi dikeluarkan pihak berkuasa Israel mengenai status penuh tahanan terbabit, termasuk sama ada mereka akan dihantar pulang atau dibawa ke pusat tahanan tertentu.
