
KUALA LUMPUR, 19 Mei – Usaha memperkukuhkan hubungan antara Malaysia dan Iran terus diberi perhatian khusus oleh PAS menerusi penegasan terhadap pentingnya solidariti ummah serta kerjasama kemanusiaan dalam mendepani cabaran geopolitik semasa.
Duta Besar Iran ke Malaysia, Valiollah Mohammadi Nasrabadi berkata hubungan kedua-dua negara perlu diperkasakan terutama dalam menghadapi tekanan antarabangsa dan konflik yang melanda Republik Islam Iran.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan bertajuk “Malaysia dan Iran Bersama-sama Untuk Keseimbangan Ummah dan Pembebasan Palestin: Pengalaman Iran Sebelum dan Selepas Perang” dalam satu program yang berlangsung di ibu negara.
Menurut beliau, “Amerika Syarikat dan rejim Israel melancarkan perang baharu terhadap Republik Islam Iran pada 28 Februari lalu dengan tujuan menukar pemerintahan negara itu serta memaksa rakyat Iran menyerah kalah.”
Katanya lagi, “Mereka menjangkakan kemenangan dapat dicapai dalam masa singkat, namun gagal mencapai objektif perang.”
Beliau turut menjelaskan bahawa tekanan berterusan terhadap Iran gagal melemahkan sokongan rakyat terhadap kerajaan negara itu, malah memperlihatkan kekuatan sistem pertahanan dan perpaduan nasional Iran.
“Selepas seminggu, mereka mula mencari jalan penyelesaian dan gencatan senjata,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan bahawa beberapa negara sahabat termasuk Pakistan memainkan peranan sebagai mediator sehingga membawa kepada usaha gencatan senjata walaupun keadaan masih belum benar-benar stabil.
Menurut laporan yang dikongsikan, konflik berkenaan turut mengakibatkan kemusnahan besar terhadap infrastruktur awam di Iran dengan ribuan bangunan dilaporkan musnah akibat peperangan tersebut.
Isu Palestin dan kestabilan dunia Islam turut menjadi antara fokus utama perbincangan, selaras dengan pendirian PAS yang konsisten dalam memperjuangkan solidariti antarabangsa umat Islam serta sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin.
