SHAH ALAM: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, membidas kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, berhubung isu jalinan kerjasama parti politik dan mendakwa pemimpin DAP itu gagal melihat dinamika landskap politik semasa yang kini lebih fleksibel.
Mohd Puad menegaskan bahawa realiti politik hari ini tidak lagi bersifat kaku (rigid), sekali gus mempertahankan hak mana-mana gabungan negeri untuk menentukan hala tuju tersendiri yang berbeza dengan acuan pentadbiran di peringkat pusat.
Beliau mempersoalkan mengapa model kerjasama parti di peringkat Persekutuan perlu dipaksakan ke peringkat negeri sekiranya formula sedia ada di peringkat wilayah berkenaan sudah terbukti berjaya membawa kemakmuran.
“Nampaknya Anthony duduk di bawah tempurung. Dia gagal melihat putaran ganas politik yang tidak lagi ‘rigid’. Apa salahnya di (peringkat) Persekutuan kita bekerjasama, tetapi di (peringkat) negeri kita masing-masing?” katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook beliau hari ini.
Kenyataan sinis Speaker DUN Johor itu hadir sebagai respons langsung terhadap bidasan Anthony Loke sebelum ini yang menyelar sikap tidak konsisten sesetengah pemimpin UMNO-BN Johor kerana secara terbuka menyatakan keengganan untuk ‘duduk semeja’ dengan DAP selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Bagaimanapun, Mohd Puad menjelaskan bahawa pendirian berkenaan bukan bermakna BN Johor menolak sepenuhnya rundingan atau kerjasama demi kepentingan rakyat, sebaliknya ia mencerminkan keunikan dinamika politik di negeri harimau selatan itu yang mempunyai acuan kestabilannya yang tersendiri.
“Seperti apa yang berlaku sekarang, ada masalah ke? Johor tetap makmur, yang penting masing-masing ikhlas bekerjasama,” ujarnya lagi.
Saling balas kenyataan ini semakin menghangatkan suhu politik di Johor tatkala parti-parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan mula membincangkan strategi penentuan kerusi, di tengah-tengah ketegasan pimpinan UMNO Johor sebelum ini yang memberi bayangan sedia mempertahankan mandat sedia ada secara solo.



