KUALA LUMPUR: PAS menyifatkan tindakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang secara konsisten menentang kemasukan beberapa parti politik Melayu lain ke dalam Perikatan Nasional (PN) sebagai punca utama yang merosakkan dan menjejaskan agenda besar penyatuan ummah.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari, mendedahkan bahawa dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN sebelum ini, pimpinan Bersatu telah menolak permohonan kemasukan parti-parti seperti BERJASA, PEJUANG, IMAN, dan PUTRA ke dalam gabungan tersebut.
Menurut beliau, tindakan penolakan oleh Bersatu itu tetap dilakukan walaupun kertas cadangan kemasukan parti-parti berkenaan telah pun lengkap disiapkan, sekali gus dilihat jelas tersasar daripada hasrat murni gagasan penyatuan yang diperjuangkan oleh PAS selama ini.
“PAS tidak membuat keputusan berdasarkan sentimen atau kepentingan jangka pendek, sebaliknya berasaskan penilaian terhadap kemampuan sesuatu kerjasama untuk mencapai matlamat lebih besar iaitu penyatuan ummah dan kestabilan politik negara.
“Ia bukan menggembirakan, tetapi ia ubat pahit yang perlu ditelan demi kemaslahatan yang lebih besar,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial beliau yang disiarkan semula oleh Harakahdaily hari ini.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu turut menambah, situasi berkenaan diburukkan lagi dengan rentetan kronologi sikap acuh tak acuh pimpinan Bersatu di beberapa buah negeri, khususnya di Perlis dan Negeri Sembilan, yang akhirnya menghakis serta menjejaskan moral jentera akar umbi PAS untuk terus bekerja bersama mereka.
Mengulas mengenai status kedudukan kedua-dua parti di dalam komponen pendaftaran PN susulan pengumuman rasmi malam tadi, Ahmad Fadhli berpandangan bahawa PAS dan Bersatu sudah tentu tidak boleh lagi terus berada di bawah payung atau gabungan rasmi yang sama.
Beliau menjelaskan bahawa segala perkara teknikal membabitkan pembubaran pakatan atau kedudukan struktur dalam PN akan diuruskan sepenuhnya mengikut saluran undang-undang serta peruntukan perlembagaan parti yang sewajarnya.



