KUALA LUMPUR, 17 Jun — Perikatan Nasional (PN) mengumumkan penstrukturan semula pentadbiran dalaman gabungan itu berkuat kuasa serta-merta bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.
Dalam kenyataan berkenaan, Pengerusi PN, Ahmad Samsuri Mokhtar memaklumkan beberapa perubahan utama melibatkan jawatan penting dalam organisasi pilihan raya gabungan tersebut.
Antara keputusan yang diumumkan ialah Ketua Pengarah Pilihan Raya, Radzi Jidin diberhentikan daripada jawatan dan digantikan oleh Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor.
Selain itu, jawatan Bendahari turut menyaksikan perubahan apabila Muhammad Sanusi yang sebelum ini memegang portfolio tersebut digantikan oleh Subramaniam Surunaryan.
Turut diumumkan, jawatan Timbalan Setiausaha Agung yang disandang oleh Azmin Ali turut ditamatkan perkhidmatan sebagai sebahagian daripada penyusunan semula organisasi gabungan itu.
Menurut kenyataan itu, satu mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi PN akan diadakan dalam masa terdekat bagi memperkukuh struktur organisasi serta menyelaras strategi menghadapi PRN akan datang.
Penstrukturan semula ini dilihat sebagai langkah penting dalam memperkemas jentera pilihan raya PN menjelang saingan politik yang semakin sengit di kedua-dua negeri terbabit.



