KUALA LUMPUR, 17 Jun — Perikatan Nasional (PN) mengumumkan perubahan besar dalam struktur pentadbirannya apabila beberapa jawatan utama dalam jentera parti itu ditamatkan serta diganti serta-merta.
Pengerusi PN, Ahmad Samsuri Mokhtar memaklumkan bahawa Ketua Pengarah Pilihan Raya, Radzi Jidin telah dihentikan perkhidmatan dan digantikan oleh Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor.
Selain itu, jawatan Bendahari yang sebelum ini dipegang oleh Muhammad Sanusi turut mengalami perubahan dengan pelantikan baharu bagi menggantikan beliau.
Turut diumumkan, jawatan Timbalan Setiausaha Agung yang disandang oleh Azmin Ali turut ditamatkan sebagai sebahagian daripada penyusunan semula organisasi gabungan tersebut.
Langkah itu dilihat sebagai usaha memperkemas jentera pilihan raya PN menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan yang dijangka menjadi medan penting persaingan politik akan datang.
Menurut kenyataan tersebut, satu mesyuarat khas Majlis Tertinggi PN akan diadakan dalam masa terdekat bagi memperkukuh struktur organisasi serta menyelaras strategi menghadapi PRN.



