KUALA LUMPUR – Aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard, hadir ke Pejabat Unit Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Menara KPJ, Bukit Aman pada Rabu bagi memberikan keterangan berhubung satu laporan polis yang dibuatnya sebelum ini.
Kredit gambar : Berita Harian
Menurut beliau, kehadiran tersebut adalah susulan laporan polis yang dibuat di Dang Wangi berkaitan dakwaan melibatkan akaun bank Panglima Tentera Darat (PTD), Tan Sri Hafizuddin Jantan.
Chegubard menegaskan bahawa PTD merupakan entiti yang berbeza daripada Panglima Angkatan Tentera dan siasatan perlu dibuat secara terperinci bagi mengelakkan kekeliruan awam.
Dalam satu kenyataan kepada media, beliau mendakwa memiliki dokumen lengkap berhubung beberapa perkara, termasuk dakwaan transaksi kewangan mencurigakan yang berlaku secara berulang dalam akaun individu berkenaan dengan nilai antara RM25,000 hingga RM500,000 sejak penghujung tahun 2023.
Selain itu, beliau turut mendakwa terdapat isu berkaitan tender dan perolehan melibatkan syarikat yang sama atau pemilik yang mempunyai hubungan kekeluargaan, yang dikatakan menerima projek secara berulang.
Chegubard juga mendakwa mempunyai maklumat berkaitan operasi sulit di kawasan sempadan yang melibatkan beberapa tangkapan dan menggesa pihak berkuasa menyiasat sumber kewangan berkenaan memandangkan individu terbabit merupakan seorang penjawat awam.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menyentuh isu kontrak pembekalan kenderaan kerajaan yang melibatkan syarikat Spanco dan Cekap Urus.
Menurutnya, Spanco memegang kontrak pembekalan kenderaan kerajaan selama lebih 25 tahun sebelum kontrak tersebut tamat pada 2019. Katanya, tender baharu kemudiannya dimenangi oleh Cekap Urus, sebuah konsortium yang melibatkan Naza dan Berjaya, selepas menawarkan harga terendah dan memenuhi kriteria ditetapkan.
Bagaimanapun, Chegubard mendakwa kontrak tersebut dibatalkan dan dianugerahkan semula kepada Spanco dengan perbezaan kos yang besar. Beliau turut mengaitkan perkara itu dengan dakwaan permintaan sumbangan politik oleh individu tertentu, namun menegaskan dakwaan tersebut wajar disiasat oleh pihak berkuasa.
Beliau juga memaklumkan bahawa Spanco kini berdepan pertuduhan di mahkamah berkaitan dakwaan memalsukan dokumen bagi mengelirukan jawatankuasa tender mengenai status Bumiputera syarikat berkenaan.
Mengulas situasi politik semasa, Chegubard mendakwa wujud strategi tertentu oleh kerajaan bagi menyimpan kes-kes berprofil tinggi sebagai tekanan politik, termasuk terhadap pemimpin pembangkang, menjelang pilihan raya.
Dalam masa sama, beliau turut mengkritik kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), khususnya berhubung isu dalaman parti dan kemelut politik di Perlis yang menurutnya gagal ditangani secara pantas dan berkesan.
Chegubard menegaskan pendiriannya bahawa agenda utama beliau adalah untuk “membersihkan rumah perjuangan” dan menekankan bahawa pembangkang perlu memastikan integriti dalaman terpelihara sebelum menuntut perubahan di peringkat nasional.
“Saya percaya untuk melawan rasuah dan penyalahgunaan kuasa, kita mesti bermula dengan membersihkan diri sendiri,” katanya sambil menegaskan kesediaannya berdepan risiko demi prinsip tersebut.
Sertai channel Whatsapp Malaysia Insight untuk berita terkini – klik di sini



