KANGAR – Menteri Besar Perlis yang baharu, Abu Bakar Hamzah, mengumumkan pemotongan gaji bulanan beliau sebanyak RM3,000, manakala barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) pula akan dipotong RM1,500 seorang sebagai langkah awal menunjukkan komitmen kepimpinan negeri kepada rakyat.
Abu Bakar Hamzah (kanan) memulakan tugas di pejabat Menteri Besar hari ini
Pengumuman itu dibuat sejurus beliau mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perlis ke-9, selepas krisis politik yang melanda pentadbiran negeri sebelum ini.
Menurut Abu Bakar, keputusan tersebut diambil sebagai tanda keprihatinan terhadap realiti kos sara hidup yang semakin mencabar, di samping usaha menyokong kestabilan ekonomi dan kedudukan fiskal negeri.
“Kita perlu memberi khidmat kepada rakyat dan negeri. Dalam keadaan ada rakyat yang sukar memperoleh sekurang-kurangnya RM500 sebulan, saya rela hati membuat pemotongan ini supaya rakyat tahu kami berdiri bersama mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi rasmi ‘clock in’ tugas sebagai Menteri Besar di Pejabat Menteri Besar, Kompleks Seri Putra, di sini pada Isnin.
Jelasnya, pendekatan berkenaan akan turut dilaksanakan kepada semua Exco yang akan dilantik, dengan matlamat mengurangkan beban perbelanjaan kerajaan negeri serta mewujudkan sinergi dalam usaha memperbaiki kedudukan kewangan dan ekonomi Perlis.
Tambah beliau, langkah itu bukan sekadar penjimatan kewangan, sebaliknya membawa mesej simbolik bahawa kepimpinan negeri bersedia melakukan pengorbanan bersama rakyat ketika berdepan tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat.
Tindakan tersebut dilihat sebagai antara langkah awal pentadbiran baharu Perlis dalam membina semula keyakinan rakyat serta menegaskan keutamaan kebajikan rakyat dalam dasar dan pentadbiran kerajaan negeri.



