SHAH ALAM – Pemuda PAS Selangor menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan kos sara hidup keluarga di Shah Alam yang didakwa lebih tinggi berbanding Kuala Lumpur, berdasarkan Indeks Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bagi tahun 2024
Ketua Pemuda PAS Selangor, Ustaz Mohamed Sukri Omar berkata, dapatan yang dilaporkan oleh sebuah akhbar perniagaan tempatan itu wajar diberi perhatian serius kerana mencerminkan realiti sebenar kehidupan keluarga pekerja dan kelas menengah di Selangor, khususnya di Shah Alam.
Menurut beliau, Shah Alam menjadi satu-satunya ibu negeri di Malaysia yang mencatat kos sara hidup asas bagi isi rumah lebih tinggi berbanding Kuala Lumpur, dengan indeks melebihi paras rujukan 100 melibatkan isi rumah dua, tiga dan empat orang.
“Fakta ini sekali gus menolak persepsi lama bahawa kos hidup di luar Kuala Lumpur adalah lebih rendah,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau turut memetik data DOSM yang menunjukkan purata perbelanjaan bulanan asas kehidupan wajar di daerah Petaling mencecah RM6,870 manakala di Klang sebanyak RM6,404, berbanding Kuala Lumpur yang berada pada paras RM5,639.
Jelasnya, keadaan itu bermakna keluarga di Shah Alam terpaksa berbelanja lebih besar dan bekerja lebih keras hanya untuk mencapai tahap kehidupan yang dianggap wajar dan bermaruah.
Tambah beliau, situasi tersebut mendedahkan jurang ketara antara kos sara hidup dengan keupayaan pendapatan sebenar rakyat, khususnya golongan muda, keluarga muda serta pekerja industri dan sektor perkhidmatan yang menjadi tulang belakang ekonomi negeri.
“Ia bukan sekadar isu statistik, tetapi melibatkan soal keadilan sosial, kelangsungan hidup dan masa depan generasi,” katanya.
Sehubungan itu, Pemuda PAS Selangor berpandangan isu kos sara hidup tidak boleh ditangani melalui retorik, slogan atau bantuan bersifat sementara, sebaliknya memerlukan pendekatan dasar yang menyeluruh dan berteraskan realiti rakyat bandar.
Antara cadangan dikemukakan termasuk pengiktirafan secara jujur oleh kerajaan negeri terhadap krisis kos sara hidup bandar, penambahbaikan pelaksanaan perumahan mampu milik agar benar-benar dapat dimiliki golongan sasar, serta penyepaduan dasar pengangkutan awam, penjagaan anak dan pendidikan awal sebagai satu pakej kos sara hidup yang holistik.
Beliau turut menegaskan keperluan memperkukuh peluang pekerjaan bergaji wajar dan perlindungan sosial supaya pertumbuhan ekonomi Selangor dapat diterjemahkan kepada kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.
“Pemuda PAS Selangor percaya kemajuan sebenar sesebuah negeri tidak diukur melalui bangunan tinggi atau pelaburan besar semata-mata, tetapi pada kemampuan rakyatnya untuk hidup dengan tenang dan bermaruah tanpa dihimpit tekanan kos sara hidup yang melampau,” katanya.
Beliau menambah, pihaknya komited untuk terus membawa suara rakyat dan memastikan isu kos sara hidup menjadi agenda utama perbahasan serta tindakan demi masa depan Selangor yang lebih adil dan sejahtera.
Sertai channel Whatsapp Malaysia Insight untuk berita terkini – klik di sini


