KUALA LUMPUR, 26 Januari – Perletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) disahkan berkuat kuasa secara functus officio, meskipun belum dibentangkan atau diluluskan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi gabungan itu, kata Timbalan Setiausaha Agung PN.
Beliau menjelaskan bahawa Muhyiddin telah mengumumkan perletakan jawatan pada 30 Disember 2025, yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2026, serta menghantar surat rasmi kepada Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada tarikh yang sama.
“Walaupun Fasal 8.3(i)(b) Perlembagaan PN menyebut bahawa kelulusan Majlis Tertinggi diperlukan untuk mengesahkan perletakan jawatan, pandangan pakar perundangan menyatakan bahawa surat perletakan jawatan yang bertarikh secara rasmi sudah berkuat kuasa. Ini adalah prinsip functus officio yang diiktiraf undang-undang,” katanya dalam sidang media hari ini.
Surat balasan daripada Presiden PAS bertarikh 31 Disember 2025 menyatakan penghormatan terhadap keputusan perletakan jawatan Muhyiddin, sekaligus menegaskan bahawa tiada pertikaian terhadap prosedur yang diikuti.
Menurut Timbalan Setiausaha Agung, tindakan ini selaras dengan peruntukan Perlembagaan PN dan bertujuan memastikan proses pentadbiran gabungan politik itu terus berjalan tanpa gangguan.
“Perlembagaan PN memberi garis panduan jelas berhubung proses perletakan jawatan dan pelantikan jawatan baharu. Segala tindakan adalah berlandaskan perlembagaan, bukan pilihan individu,” jelasnya.
Kronologi Perletakan Jawatan
Beliau turut memaparkan kronologi peristiwa yang membawa kepada Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi PN:
- 30 Disember 2025 – Tan Sri Muhyiddin umum perletakan jawatan serta menghantar surat rasmi kepada Presiden PAS.
- 31 Disember 2025 – Presiden PAS membalas surat tersebut, menghormati perletakan jawatan.
- 7 Januari 2026 – Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia menghantar permohonan rasmi kepada Pejabat Setiausaha Agung PN untuk mengadakan Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi.
- 10 Januari 2026 – PAS menghantar surat susulan bagi menyokong permohonan mesyuarat demi kelangsungan PN.
- 23 Januari 2026 – Timbalan Setiausaha Agung mengeluarkan surat jemputan kepada semua ahli Majlis Tertinggi bagi memanggil Mesyuarat Luar Biasa, yang dijadualkan pada 29 Januari 2026.
Beliau menegaskan bahawa semua tindakan ini dilakukan mengikut peruntukan perlembagaan dan nasihat undang-undang pakar, memastikan proses pelantikan jawatan baharu berjalan secara sah.
Menurut Timbalan Setiausaha Agung, prinsip function officio membolehkan seseorang yang memegang jawatan sementara atau pemangku melaksanakan tanggungjawab tertentu sehingga pelantikan rasmi dibuat.
“Dalam konteks ini, walaupun Pengerusi PN meletak jawatan, peranan untuk memanggil mesyuarat luar biasa terletak pada pihak yang menjalankan fungsi itu, iaitu Timbalan Setiausaha Agung. Ini memastikan tiada gangguan terhadap kelangsungan pentadbiran PN,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa Perikatan Nasional akan terus berpegang kepada prinsip tadbir urus berperlembagaan, dan tiada sebarang tindakan yang diambil di luar lunas undang-undang parti.
“Segala keputusan berlandaskan perlembagaan, termasuk pelantikan jawatan baharu, adalah demi kestabilan dan kelangsungan PN sebagai gabungan politik. Tiada sesiapa yang boleh mengubah atau menafikan proses ini secara sewenang-wenangnya,” katanya.



