KUALA LUMPUR, 26 Januari – Perikatan Nasional (PN) menegaskan bahawa pemanggilan Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi Perikatan Nasional adalah sah sepenuhnya dan dibuat berlandaskan peruntukan perlembagaan parti yang berkuat kuasa.
Timbalan Setiausaha Agung PN berkata, mesyuarat tersebut dipanggil mengikut Fasal 12.2 Perlembagaan Perikatan Nasional yang membenarkan Mesyuarat Luar Biasa diadakan atas permintaan sekurang-kurangnya separuh daripada parti anggota.
“Semua perkara yang diuruskan dalam proses ini adalah berpandukan perlembagaan PN yang telah diluluskan secara rasmi pada 30 Mei 2025 dan merupakan versi terkini yang berdaftar,” katanya dalam sidang media hari ini.
Beliau turut menegaskan bahawa dakwaan kononnya mesyuarat tersebut tidak sah adalah tidak berasas dan bercanggah dengan peruntukan jelas dalam perlembagaan.
Menurut beliau, Pejabat Setiausaha Agung PN telah menerima permohonan rasmi daripada Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia melalui sepucuk surat bertarikh 7 Januari 2026 yang merujuk secara khusus kepada Fasal 12.2 bagi memohon Mesyuarat Luar Biasa diadakan.
Permohonan itu disusuli dengan sepucuk surat daripada PAS bertarikh 10 Januari 2026 yang menegaskan keperluan mesyuarat tersebut demi kelangsungan dan kestabilan Perikatan Nasional sebagai sebuah gabungan politik.
“Apabila permohonan bertulis diterima daripada parti anggota yang mencukupi, Setiausaha Agung perlu memanggil mesyuarat. Ini bukan pilihan, tetapi satu kewajipan perlembagaan,” jelasnya.
Mengulas mengenai pihak yang memanggil mesyuarat, Timbalan Setiausaha Agung menjelaskan bahawa tindakan tersebut dibuat selepas Setiausaha Agung PN meletakkan jawatan.
Sehubungan itu, beliau menjalankan tanggungjawab tersebut berdasarkan Fasal 8.3(vi) Perlembagaan PN yang memperuntukkan bahawa Timbalan Setiausaha Agung boleh menjalankan fungsi pengerusi atau pemangku dalam keadaan kekosongan jawatan.
“Berdasarkan peruntukan ini, saya telah mengeluarkan surat jemputan mesyuarat kepada semua ahli Majlis Tertinggi pada 23 Januari 2026,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa mesyuarat dipanggil tanpa melibatkan Presiden PN atas dasar prinsip function officio, memandangkan perletakan jawatan pengerusi telah berkuat kuasa.
Menurut beliau, agenda Mesyuarat Luar Biasa tersebut telah ditetapkan secara jelas dan berperingkat bagi memastikan proses berjalan secara teratur dan mematuhi perlembagaan.
Antara agenda utama mesyuarat ialah:
- Pemilihan pengerusi mesyuarat dalam kalangan Timbalan Pengerusi;
- Meluluskan perletakan jawatan Pengerusi Perikatan Nasional;
- Pelantikan Pengerusi Perikatan Nasional yang baharu, tertakluk kepada kelulusan agenda kedua.
Mesyuarat tersebut dijadualkan berlangsung pada 29 Januari ini dan akan diadakan di Ibu Pejabat Parti Gerakan Rakyat Malaysia.
Dalam pada itu, Timbalan Setiausaha Agung menegaskan bahawa Perikatan Nasional kekal berpegang kepada prinsip tadbir urus berperlembagaan dan tidak bertindak di luar lunas undang-undang parti.
“Perlembagaan adalah rujukan tertinggi dalam setiap tindakan. PN tidak boleh dan tidak akan bertindak sesuka hati,” katanya.
Beliau turut menyeru semua pihak agar menghormati proses yang sedang berjalan serta tidak membuat spekulasi yang boleh mengelirukan ahli dan rakyat.
“Semua keputusan akan dibuat secara kolektif melalui Majlis Tertinggi, selaras dengan semangat musyawarah dan perlembagaan,” katanya.




