KUALA LUMPUR, 26 Januari – PAS berkemungkinan mengumumkan calon mereka bagi jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) pada bila-bila masa, selepas keputusan rasmi dibuat dalam Jawatankuasa Kerja PAS Pusat serta Jawatankuasa Kerja Harian PAS Pusat.
Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Setiausaha Agung Perikatan Nasional dalam sidang media hari ini yang turut dihadiri beberapa pimpinan kanan PAS dan PN, antaranya Datuk Idris Ahmad, Ustaz Ahmad Yahya dan YB Syahir Sulaiman.
Menurut beliau, pencalonan daripada PAS adalah selaras dengan peruntukan perlembagaan PN yang tidak mensyaratkan pengerusi mestilah Presiden mana-mana parti anggota.
“Perlembagaan PN tidak menetapkan pengerusi perlu terdiri daripada presiden parti. Pelantikan pengerusi adalah kuasa Majlis Tertinggi Perikatan Nasional. Siapa sahaja boleh dilantik sekiranya dipersetujui,” katanya.
Beliau turut mendedahkan bahawa sebelum ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri pernah mempelawa PAS untuk mencalonkan pengerusi PN. PAS pada ketika itu menyatakan kesediaan dan telah membuat pertimbangan dalaman sekiranya pencalonan tersebut dipersetujui oleh Majlis Tertinggi.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa calon yang akan diketengahkan PAS bukanlah Presiden PAS, dan pengumuman rasmi akan dibuat oleh Presiden PAS sendiri pada masa yang sesuai.
Mengulas isu pindaan perlembagaan PN yang dibangkitkan sebelum ini, Timbalan Setiausaha Agung menjelaskan bahawa cadangan pindaan tersebut tidak menghalang pemilihan pengerusi baharu daripada dilaksanakan.
Menurut beliau, pertemuan antara Presiden PAS dan Presiden Bersatu telah mencapai persetujuan untuk mengaktifkan sepenuhnya peranan Majlis Presiden Perikatan Nasional, khususnya dalam membuat keputusan dasar utama gabungan.
“Antara fungsi utama Majlis Presiden ialah merangka dasar besar yang kemudiannya dirujuk kepada Majlis Tertinggi, selain membincangkan ketetapan kerusi pilihan raya melalui Jawatankuasa Rundingan Kerusi,” jelasnya.
Beliau berkata, berikutan persetujuan itu, satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan bagi mengkaji cadangan pindaan perlembagaan yang berkaitan dengan peranan dan fungsi Majlis Presiden.
Namun demikian, beliau menegaskan bahawa sebarang pindaan perlembagaan hanya boleh dilaksanakan melalui mesyuarat rasmi PN dan seterusnya perlu dikemukakan kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk kelulusan.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa keutamaan semasa PN adalah menyelesaikan isu kekosongan jawatan Pengerusi terlebih dahulu bagi memastikan kelangsungan dan kestabilan pentadbiran gabungan tersebut.
“Pandangan ROS juga menyatakan bahawa apabila PN berada dalam keadaan tanpa pengerusi, isu pengerusi perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum pindaan lain dibincangkan,” katanya.
Selepas pengerusi PN baharu dilantik, Majlis Pengerusi boleh ditubuhkan dan seterusnya melantik Pengerusi Majlis Presiden dengan persetujuan semua presiden parti anggota.
Menurut beliau lagi, Pengerusi Perikatan Nasional yang baharu kelak mempunyai kuasa penuh untuk melantik jawatan utama dalam struktur pentadbiran PN.
“Pengerusi PN mempunyai kuasa untuk melantik Setiausaha Agung, Timbalan Setiausaha Agung, Bendahari Agung, Ketua Penerangan dan Pengarah Pilihan Raya. Pelantikan ini tidak memerlukan rundingan dan boleh dikekalkan atau digugurkan mengikut budi bicara pengerusi,” jelasnya.
Beliau menegaskan bahawa segala proses yang sedang berlangsung ketika ini adalah mengikut lunas perlembagaan dan bertujuan memastikan PN terus berfungsi secara sah, tersusun dan berintegriti.
“Segala tindakan yang diambil adalah demi kelangsungan Perikatan Nasional dan berpandukan perlembagaan yang telah diluluskan,” katanya.



