KUALA TERENGGANU – Yang Berhormat Dato’ Dr Azman bin Ibrahim, seorang ahli politik dari Parti Islam Se-Malaysia (PAS), kini merupakan antara wajah penting dalam pentadbiran negeri Terengganu serta suara aktif dalam perdebatan politik Melayu-Islam.
Awal Karier dan Permulaan dalam Politik
Dr Azman, dilahirkan pada 20 September 1974 di Terengganu, memulakan langkah dalam politik beliau dengan menyertai PAS dan turut terlibat dalam beberapa pilihan raya negeri sejak lebih 15 tahun lalu.
Beliau membuat debut pilihan rayanya pada Pilihan Raya Negeri Terengganu 2008 untuk kerusi DUN Jabi, namun tewas kepada calon Barisan Nasional (BN). Keputusan itu tidak melemahkan semangatnya; Dr Azman sekali lagi dicalonkan pada PRN 2013 di kerusi sama dan tewas sekali lagi dengan perbezaan hanya 700 lebih undi.
Kemenangan dan Penglibatan Majlis Negeri
Usaha berterusan itu akhirnya membuahkan hasil pada Pilihan Raya Negeri Terengganu 2018, apabila beliau meraih kemenangan nipis di kerusi Jabi, menewaskan calon BN dengan jurang hanya 55 undi. Kemenangan ini membolehkan beliau menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan membawa suara dakwah serta pembelaan rakyat di peringkat negeri.
Selepas kemenangan tersebut, Dr Azman dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Terengganu pada 10 Mei 2018 oleh Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar, sebagai EXCO Pertanian, Industri Asas Tani, dan Pembangunan Luar Bandar.
Kerusi beliau terus kukuh apabila pada Pilihan Raya Negeri Terengganu 2023, Dr Azman mempertahankan kerusi DUN Jabi dengan majoriti yang lebih besar apabila memperoleh 11,523 undi berbanding lawan dari BN.
Peranan di Peringkat Nasional dan Komuniti
Selain tugas rasmi sebagai EXCO dan ADUN, Dr Azman turut dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara sejak tahun 2020, menunjukkan penglibatannya juga merangkumi pembangunan sektor pertanian di peringkat nasional.
Beliau juga aktif dalam jawatan kepimpinan pusat, termasuk menjadi anggota jawatankuasa kerja PAS Pusat. Aktiviti ini turut dipaparkan melalui saluran media sosialnya yang mencerminkan komitmen terhadap hal-hal semasa dan khidmat masyarakat.
Melalui laman Facebook rasmi beliau, Dr Azman sering berkongsi kerja-kerja pentadbiran seperti mesyuarat penyelarasan sektor perikanan dan usaha pembangunan kawasan DUN Jabi, di samping menekankan kepentingan menjaga hubungan rapat dengan masyarakat setempat.
Pendekatan dan Nilai Integriti
Dalam kenyataan di media sosialnya, Dr Azman menegaskan pendirian untuk menjaga integriti serta hubungan profesional dalam kerjanya. Beliau pernah berkongsi bahawa sepanjang dua penggal sebagai wakil rakyat, beliau tidak menerima sebarang tajaan atau layanan istimewa dari kontraktor atau pihak berkepentingan, demi menjaga prinsip ketelusan dan kejujuran dalam perkhidmatan awam.
Isu, Kritikan dan Reaksi Awam
Seperti mana ramai pemimpin, perjalanan politik Dr Azman juga tidak terlepas daripada kontroversi. Beliau pernah dikecam oleh netizen terhadap beberapa komen yang dianggap sensitif, termasuk isu berkaitan etnik dan peranan wanita. Walaupun menerima kritikan, beliau menunjukkan pendirian tetap berperinsip serta sering memberi penjelasan terhadap pandangannya. Inilah antara ciri unik beliau sebagai seorang pemimpin masyarakat yang disegani.
Pendekatan Politik dan Perspektif
Dr Azman sering menekankan pentingnya “politik solusi” yang memberi tumpuan kepada penyelesaian isu rakyat berbanding retorik semata-mata. Dalam beberapa kenyataannya kepada media dan melalui saluran rasmi, beliau mengajak pemimpin lain fokus kepada kaedah tuntas untuk menyelesaikan masalah rakyat, khasnya dalam konteks pentadbiran negeri Terengganu.
Maka tidak hairanlah sosok ini kini disebut-sebut sebagai salah seorang calon terbaik bagi menggantikan YAB Dato Seri Dr. Ahmad Samsuri sebagai calon menteri besar sekiranya Dr. Sam di angkat ke peringkat persekutuan. Beliau amat memahami keperluan rakyat negeri Terengganu serta disenangi majoriti warganya.
Sertai channel Whatsapp Malaysia Insight untuk berita terkini – klik di sini


