KUALA LUMPUR – Bekas Hakim Besar Malaya, Siti Norma Yaakob, meninggal dunia pada usia 85 tahun di KPJ Ampang Puteri Specialist Hospital kira-kira jam 1.51 tengah hari akibat pneumonia.
Berita pemergian tokoh kehakiman negara itu disahkan oleh anaknya, Meor Amri Meor Ayob. Jenazah Allahyarham dijangka disolatkan di Masjid Darul Ehsan, Taman TAR, Ampang sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana.
Dilahirkan di Seremban pada 6 Julai 1940, Siti Norma mencipta sejarah sebagai wanita pertama di Malaysia yang memegang beberapa jawatan tertinggi dalam badan kehakiman, termasuk Hakim Mahkamah Tinggi, Hakim Mahkamah Rayuan dan Hakim Mahkamah Persekutuan.
Beliau kemudian dilantik sebagai Hakim Besar Malaya pada 2005, jawatan ketiga tertinggi dalam hierarki badan kehakiman negara, sebelum bersara pada 2007 selepas lebih empat dekad berkhidmat dalam bidang perundangan.
Pemergian beliau disifatkan sebagai satu kehilangan besar kepada negara kerana sumbangannya dalam membentuk banyak penghakiman penting yang menjadi rujukan dalam sistem perundangan Malaysia.
Selain itu, pencapaiannya turut membuka ruang kepada lebih ramai wanita untuk menduduki jawatan tertinggi dalam badan kehakiman negara



