GOMBAK – Isu nafkah menjadi punca seorang lelaki bertindak agresif terhadap bekas isteri dan anaknya dalam kejadian di sebuah kediaman di Taman Scientex, Kundang Jaya di sini semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Abang Kaderi Abang Wasli berkata, pihaknya menerima laporan daripada pengadu yang merupakan bekas isteri suspek sekitar pukul 8.33 pagi hari ini.
Menurutnya, kejadian melibatkan seorang suspek lelaki warga tempatan berusia 34 tahun dengan bekas isteri dan anak kandungnya.
“Siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada perselisihan faham berkaitan isu nafkah melibatkan suspek ketika menghantar anak ke rumah pengadu.
“Dalam kejadian tersebut, suspek bertindak agresif terhadap pengadu dan turut menolak anak perempuan mereka yang berusia tujuh tahun sehingga terjatuh serta mengalami luka di bahagian lutut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Abang Kaderi berkata, satu kertas siasatan dibuka di bawah Sksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18a Akta Keganasan Rumah Tangga.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian ini diminta untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat kes, Sarjan Muhammad Amirul Mohd. Sharit di talian 016-6740989.
Terdahulu, tular beberapa klip video memaparkan pertengkaran antara seorang lelaki dan wanita di hadapan sebuah kediaman.
Turut kelihatan anak pasangan itu yang sedang menangis dipercayai terjatuh akibat ditolak. – KOSMO! ONLINE
The post Isu nafkah punca laki ‘kasar’ dengan isteri, anak appeared first on Kosmo Digital.
https://www.kosmo.com.my/2025/12/29/isu-nafkah-punca-laki-kasar-dengan-isteri-anak/?utm_source=dlvr.it&utm_medium=wordpress&utm_campaign=isu-nafkah-punca-laki-kasar-dengan-isteri-anak




