LONDON – PAS menegaskan pendiriannya untuk terus bertindak secara berdisiplin dan berprinsip dalam menghadapi proses peralihan kepimpinan Perikatan Nasional (PN), susulan perkembangan terkini membabitkan Pengerusi gabungan itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Berkongsi kisah pertemuan “kawan-kawan” dengan YB Tan Sri Muhyiddin di London, YB Tan Sri Annuar Musa yang ketika itu juga berada di United Kingdom bagi memenuhi jemputan rasmi Kelab PAS UK serta urusan lain di London telah dikhabarkan bahawa Muhyiddin turut berada di sana. Beliau lalu telah menjemput rakan lamanya itu untuk bersarapan bersama.
Pertemuan tersebut diadakan dalam suasana santai dan tidak melibatkan sebarang keputusan rasmi parti, namun menyentuh isu semasa politik termasuk hala tuju kepimpinan PN.
Dalam perbincangan itu, Tan Sri Muhyiddin dilaporkan menyatakan secara konsisten kesediaannya untuk melepaskan jawatan Pengerusi PN sekiranya PAS bersedia memimpin gabungan tersebut.
Menurut Annuar Musa, pendirian itu bukan perkara baharu dan telah beberapa kali dinyatakan oleh beliau sebelum ini, sekali gus menolak dakwaan bahawa keputusan tersebut didorong oleh isu politik di Perlis.
“Kesediaan Tan Sri Muhyiddin untuk memberi laluan merupakan pendirian berprinsip yang telah lama beliau nyatakan, bukan reaksi kepada isu tertentu,” kata sumber berkenaan.
PAS pula difahamkan memilih untuk menangani perkara itu melalui saluran disiplin organisasi, selaras dengan amalan parti yang menekankan perbincangan tertib serta keputusan kolektif menerusi mesyuarat badan tertinggi.
Pendekatan itu sekali gus mencerminkan disiplin politik PAS dalam memastikan sebarang perubahan kepimpinan gabungan dibuat secara teratur dan berlandaskan perlembagaan PN.
Menyentuh isu politik Perlis, PAS sebelum ini telah mengeluarkan kenyataan rasmi yang menegaskan pendirian parti untuk menghormati perkenan DYMM Raja Perlis serta kekal menyokong Kerajaan PN negeri di bawah pimpinan Menteri Besar yang baharu.
Sumber memaklumkan bahawa isu berkenaan turut dibincangkan secara mendalam dalam pertemuan di London itu bagi memperjelaskan fakta serta mengelakkan salah faham yang boleh menjejaskan kestabilan politik negeri dan gabungan.
Dalam konteks PN, Tan Sri Muhyiddin dilihat sebagai tokoh pengasas yang memainkan peranan penting membentuk asas dan hala tuju gabungan tersebut, yang kini dianggotai lima parti komponen serta beberapa rakan strategik.
Tindakan beliau membuka ruang kepada penggiliran kepimpinan disifatkan sebagai langkah kenegaraan yang matang dan selaras dengan prinsip demokrasi dalam gabungan politik.
PAS sebelum ini telah menyatakan kesediaan untuk memikul tanggungjawab kepimpinan PN, selaras dengan kedudukannya sebagai parti teras yang konsisten memperjuangkan kestabilan, kebajikan rakyat serta politik berakhlak.
Pemerhati politik berpandangan bahawa pendekatan PAS yang mengutamakan kebijaksanaan, komunikasi terbuka dan kejujuran dalam berpolitik mampu memastikan PN terus kekal relevan serta diyakini rakyat.
Walaupun PN berdepan cabaran baharu dalam landskap politik semasa, gabungan itu diyakini mampu diperkukuh melalui kepimpinan yang berwibawa, berdisiplin dan berpaksikan kepentingan negara.
Sertai channel Whatsapp Malaysia Insight untuk berita terkini – klik di sini






