KUALA LUMPUR – Bekas pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR), Iswardy Morni, yang baru mengumumkan keluar daripada PKR, mendedahkan cybertrooper kelas bawahan Pakatan Harapan (PH) dibayar elaun sebanyak RM200 sehari.
Menurut Iswardy, selain bayaran sekitar RM200 sehari kepada individu tertentu bagi menjalankan operasi propaganda, beliau mendakwa ketua-ketua cabang turut menerima dana yang jauh lebih besar atas alasan pengurusan dan gerak kerja politik.
“Di peringkat bawah, cybertrooper dibayar harian. Di peringkat cabang pula, dana yang disalurkan jauh lebih besar.
“Manakala ‘ceplos-ceplos’ (gelaran cybertrooper PH) dibayar RM200 sehari untuk menyebar propaganda dan menyerang pihak tertentu,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut mendakwa pimpinan PKR bebas menginap di hotel-hotel mewah, khususnya ketika menghadiri program atau aktiviti yang melibatkan parti, dengan kos yang menurutnya tidak mencerminkan semangat kesederhanaan yang sering dilaungkan kepada rakyat.
“Apabila program parti berlangsung, ada pemimpin yang tidak perlu risau soal kos penginapan. Hotel mewah jadi kebiasaan, sedangkan di luar, penyokong diminta berkorban atas nama perjuangan,” katanya.
Iswardy menegaskan pendedahan itu dibuat selepas beliau tidak lagi terikat dengan disiplin parti dan bertujuan membuka mata rakyat terhadap realiti politik dalaman yang jarang didedahkan secara terbuka.
Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pimpinan PKR berhubung dakwaan tersebut.
Namun, pendedahan itu dijangka terus mencetuskan perbincangan hangat mengenai ketelusan kewangan dan etika kempen politik dalam landskap politik negara yang semakin didominasi komunikasi digital.






