KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) disaran menilai semula calon kepimpinan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), selaras perubahan sentimen rakyat terhadap prestasi kerajaan dan dasar negara.
Penganalisis sosio-politik tempatan, Muhammad Afifi Abdul Razak, berkata dapatan tinjauan Institut Masa Depan Malaysia (Institut MASA) menunjukkan rakyat kini cenderung kepada tokoh generasi baharu yang stabil, profesional dan berintegriti.
Beliau menegaskan Perlembagaan PN tidak menetapkan jawatan Pengerusi mesti disandang presiden parti komponen, sebaliknya pelantikan wajar dibuat berdasarkan keupayaan dan penerimaan politik tokoh berkenaan.
“Dalam konteks ini, Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, mempunyai rekod kepimpinan kukuh dan imej sederhana yang berpotensi menyatukan semua parti dalam PN,” katanya.
Beliau menambah kejayaan Pas di Terengganu, termasuk kemenangan penuh 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri 2023, mencerminkan tahap kepercayaan rakyat dan kestabilan pentadbiran negeri.
Muhammad Afifi menjelaskan peranan Pengerusi PN lebih kepada penyelarasan dan pengukuhan kerjasama antara parti komponen, memerlukan tokoh yang diterima secara konsensus.
Mengulas dapatan kajian yang meletakkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri paling popular, beliau menegaskan populariti itu bersifat “familiarity bias”, iaitu responden cenderung memilih nama yang dikenali dan pernah memegang jawatan tertinggi, bukannya penilaian rasional terhadap kepimpinan masa depan.
“Realitinya, beliau berdepan pelbagai tekanan termasuk isu Jana Wibawa, perpecahan dalaman Bersatu, hubungan tidak jernih dengan institusi istana serta keretakan dengan rakan politik di Sabah dan Sarawak. Kebergantungan berterusan kepada figura lama boleh menyebabkan PN terus statik atau merudum,” jelasnya.
Beliau menegaskan PN tidak kekurangan tokoh berkualiti, namun perlu berani meletakkan calon baharu dalam naratif politik yang kompetitif agar gabungan itu kekal relevan, progresif dan berdaya saing menjelang PRU16.



