KUALA LUMPUR – Polis Kuala Lumpur menahan 20,540 individu dalam 18,352 kes berkaitan pengedaran, pemilikan dan penyalahgunaan dadah sepanjang tahun lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, tindakan penguatkuasaan itu dilaksanakan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur mengikut peruntukan Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 serta Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.
Menurut beliau, sebanyak 3,174 kes kategori bekalan direkodkan dengan 4,265 tangkapan manakala kategori permintaan melibatkan 4,833 kes dan 5,930 tangkapan.
“Bagi kategori ujian air kencing pula, sebanyak 10,345 kes dan tangkapan direkodkan sepanjang tempoh berkenaan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Fadil berkata, seramai 498 penagih berulang turut dikenakan tindakan di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan sebatan.
Beliau berkata, seramai 77 ahli sindiket turut diambil tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.
Selain itu, katanya, sitaan harta di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 turut dilaksanakan dengan nilai keseluruhan RM14 juta melibatkan tanah, rumah, kenderaan, wang tunai dan barang kemas.
“Sepanjang 2025, pelbagai jenis dadah dengan berat keseluruhan 1,085 tan berjaya dirampas dengan nilai RM1.105 bilion,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, sebanyak 24,149 barang kes dadah dengan berat 2,185 kilogram bernilai RM44 juta melibatkan kes dari tahun 2009 hingga 2024 telah dilupuskan mengikut prosedur ditetapkan.
“Sebanyak 3,527 kertas siasatan melibatkan kes dari tahun 1993 hingga 2016 turut dilupuskan,” ujarnya.
Fadil menegaskan, JSJN Kuala Lumpur akan meneruskan operasi bagi mengekang jenayah dadah dan menggesa orang ramai menyalurkan maklumat kepada pihak polis.
“Polis berharap masyarakat akan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah melalui hotline JSJN ditalian 012-2087222,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE
The post 20,000 ditahan, dadah RM1.1 bilion dirampas di KL tahun lalu appeared first on Kosmo Digital.
https://www.kosmo.com.my/2026/01/12/20000-ditahan-dadah-rm1-1-bilion-dirampas-di-kl-tahun-lalu/?utm_source=dlvr.it&utm_medium=wordpress&utm_campaign=20000-ditahan-dadah-rm1-1-bilion-dirampas-di-kl-tahun-lalu




