
KUALA LUMPUR, 26 Mei – Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, menyanggah sekeras-kerasnya tohmahan pihak tertentu yang melabelkan parti itu atau model pentadbiran Islam sebagai autokratik, teokrasi, mahupun berkonsepkan ‘mullah’ mengikut acuan barat.
Beliau menegaskan bahawa landskap politik Islam adalah sebuah sistem negara berperlembagaan yang berteraskan prinsip musyawarah (syura), tadbir urus berintegriti, serta gabungan antara panduan wahyu dan kebijaksanaan akal manusia.
Menurut beliau, istilah ‘mullah’ dan ‘teokrasi’ sering digunakan secara sengaja oleh sarjana Barat serta agenda Islamofobia bagi memberikan citra negatif kononnya pentadbiran Islam bersifat tidak demokratik dan anti-perubahan. Malangnya, naratif bias itu turut ditiru oleh sebahagian masyarakat tempatan.
“Islam menetapkan sistem pentadbiran dipandu oleh kelompok ulu al-amr, iaitu gabungan para ulama (ilmuwan) dan umara (pemimpin). Mereka ini tidak ditaati secara mutlak seperti Allah dan Rasul , malah tertakluk kepada sempadan syariat serta ruang nasihat daripada rakyat ,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Abdul Hadi turut menjelaskan bahawa di bawah model madani hidayah dan islah, para ulama atau pakar diletakkan dalam saf kepimpinan atas dasar kompetensi dan ilmu pengetahuan mereka, bukannya bertujuan untuk “menyucikan” status kedudukan mereka seperti sistem paderi di Barat.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Marang itu menambah bahawa pembuktian sistem syura ini diamalkan secara inklusif sejak zaman Rasulullah SAW dan Khulafa’ al-Rasyidin yang sentiasa meraikan perbezaan pandangan serta menerima nasihat daripada orang awam.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua pihak agar tidak membuat sebarang ulasan politik atau pelabelan terhadap Islam tanpa asas pengetahuan yang mendalam bagi mengelakkan penyebaran dwi-standard dan kekeliruan am awam.



