JOHOR BAHRU – Dinamika Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit terus mencuri tumpuan apabila memperlihatkan perbezaan pendirian politik yang unik dalam sebuah keluarga pemimpin veteran UMNO.
Di sebalik tindakan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, yang membuat kejutan dengan hadir dan memberikan sokongan terbuka di pentas kempen Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Rengit, anak beliau, Mohd Hafez Mohd Puad, pula mengambil pendekatan berbeza. Mohd Hafez secara terbuka menyatakan kesetiaan dan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Barisan Nasional (BN).
Mohd Hafez, yang juga merupakan Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Batu Pahat, menegaskan bahawa beliau tetap konsisten berdiri di belakang keputusan parti demi memastikan kelangsungan dan kemenangan calon yang diketengahkan oleh BN pada pilihan raya kali ini. Pendirian tegasnya itu dizahirkan melalui penglibatan aktif beliau dalam menggerakkan jentera Pemuda BN bagi mendekati pengundi di peringkat akar umbi.
Situasi tersebut mencerminkan keterbukan serta kematangan amalan demokrasi, di mana perbezaan strategi atau pandangan politik dalam sesebuah institusi kekeluargaan tidak menjadi halangan untuk masing-masing memperjuangkan prinsip yang diyakini. Gelagat politik di DUN Rengit ini dijangka akan terus menjadi tumpuan para pemerhati dan pengundi tempatan dalam menilai impak peralihan sokongan menjelang hari pengundian tidak lama lagi.



