AYER KEROH – Barisan Nasional (BN) menamatkan segala desas-desus apabila mengesahkan dua penyandang berpengaruh, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh dan Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem, kekal dicalonkan untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Pengumuman itu disempurnakan oleh Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, semasa Majlis Pelancaran Jentera dan Pengumuman Calon BN Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, pada malam Sabtu.
Ketetapan tersebut menoktahkan tanda tanya berhubung masa depan politik Dr Akmal di DUN Merlimau, susulan spekulasi sebelum ini yang mendakwa Ketua Pemuda UMNO itu berkemungkinan berpindah ke kawasan lain, termasuk DUN Serkam atau DUN Sungai Rambai.
Beliau sebaliknya terus diberi mandat mempertahankan kerusi berkenaan selepas melakar kemenangan dengan majoriti 3,248 undi pada PRN 2021.
Turut disahkan kekal ialah Mohd Noor Helmy di DUN Duyong, sekali gus menolak khabar angin awal mengenai potensi pertukaran calon di beberapa kubu penyandang BN. Helmy, yang terkenal dengan pendekatan agresif mendekati pengundi di lapangan, diyakini mampu memperkukuh sokongan akar umbi di kawasan terbabit.
Langkah mengekalkan kedua-dua tokoh berprofil tinggi itu dilihat sebagai strategi menjamin kesinambungan gerak kerja jentera BN dalam misi mempertahankan kemenangan di 21 kerusi DUN yang ditandingi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari penamaan calon pada 31 Oktober, manakala pengundian awal dijadualkan pada 10 November dan hari pengundian berlangsung pada 14 November.



