KUALA TERENGGANU – BERSATU Terengganu menggesa supaya tindakan tegas diambil terhadap mana-mana wakil rakyat yang terbukti terlibat dalam usaha menjatuhkan kerajaan negeri Perlis.
Pengerusi Badan Perhubungan BERSATU Terengganu, Datuk Razali Idris, berkata sebarang perbuatan yang menggugat kestabilan kerajaan negeri adalah bertentangan dengan mandat rakyat dan tidak boleh dipandang ringan.
“Jika benar ada wakil rakyat yang terlibat dalam menjatuhkan kerajaan negeri Perlis, maka tindakan sewajarnya perlu diambil,” katanya ketika mengulas perkembangan semasa krisis politik di Perlis di Facebook beliau kelmarin.
Beliau menambah bahawa isu ini menjadi semakin relevan memandangkan keahlian tiga ADUN PAS di Perlis sebelum ini terhenti serta merta, sekali gus menyumbang kepada perubahan sokongan majoriti di Dewan Undangan Negeri.
Untuk rekod, lima ADUN BERSATU dilaporkan menandatangani Akuan Bersumpah (SD) bagi menjatuhkan Menteri Besar daripada PAS, Mohd Shukri Ramli.
Selain itu, BERSATU dilapor turut menyerahkan tiga nama calon bagi jawatan Menteri Besar Perlis.
Semalam, ADUN Kuala Perlis daripada BERSATU sah dilantik sebagai Menteri Besar Perlis.



