KUALA LUMPUR – Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menegaskan komitmen untuk terus kekal dalam Kerajaan Negeri Perlis selaras dengan mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), namun mengambil keputusan untuk tidak menganggotai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) yang akan dibentuk oleh Menteri Besar Perlis yang baharu.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, semua anggota EXCO sedia ada daripada PAS akan melepaskan jawatan masing-masing sebagai tanda solidariti serta seiring dengan peletakan jawatan Menteri Besar sebelum ini.
Menurutnya, ketetapan tersebut dibuat selepas PAS Pusat meneliti dan mempertimbangkan situasi semasa yang melibatkan Kerajaan Negeri Perlis dan gabungan Perikatan Nasional (PN).
“PAS kekal komited meneruskan kelangsungan dan keberadaan dalam Kerajaan Negeri Perlis, namun pada masa sama mengambil pendirian untuk tidak terlibat dalam pembentukan EXCO baharu,” katanya dalam satu kenyataan media pada Selasa.
Dalam pada itu, Takiyuddin berkata, PAS menyeru semua pihak agar bermuhasabah dan mengambil iktibar daripada perkembangan yang berlaku, selain menggesa langkah-langkah segera diambil bagi memperkukuh kepercayaan rakyat terhadap PN.
Beliau turut memaklumkan bahawa PAS menyatakan kesediaan untuk menerajui Perikatan Nasional bagi tujuan memperkasakan organisasi serta membuat persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
“PAS bersedia memikul tanggungjawab kepimpinan dalam PN demi memastikan gabungan ini kekal kukuh dan diyakini rakyat,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Takiyuddin menegaskan PAS akan terus menghormati lunas undang-undang, prinsip demokrasi serta konsep Raja Berperlembagaan.
Beliau turut menzahirkan komitmen PAS untuk menjunjung kebijaksanaan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, demi kemaslahatan negeri dan rakyat.
Kenyataan tersebut dikeluarkan pada 30 Disember 2025 bersamaan 9 Rejab 1447 Hijrah.
Sertai channel Whatsapp Malaysia Insight untuk berita terkini – klik di sini






