KUALA LUMPUR – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Ahmad Samsuri Mokhtar menafikan sebarang penglibatan beliau dalam pertemuan yang didakwa berlaku di Bangkok dan dikaitkan dengan apa yang disebut oleh sesetengah pihak sebagai “Langkah Bangkok”.
Beliau berkata dakwaan tersebut timbul selepas terdapat laporan yang mengaitkan namanya dengan satu pertemuan politik di ibu negara Thailand itu.
“Saya tidak terlibat dalam apa jua pertemuan di Bangkok yang dirujuk oleh setengah pihak sebagai ‘Langkah Bangkok’ seperti yang dilaporkan,” katanya menerusi satu kenyataan di media sosial.
Menurut beliau lagi, sebarang pertemuan atau perbincangan yang dikaitkan dengan perkara tersebut tidak melibatkan dirinya sama sekali.
“Sebarang pertemuan atau perbincangan yang dikaitkan dengan perkara tersebut adalah tidak melibatkan saya dan tiada kena mengena dengan saya,” katanya.
Dalam kenyataan sama, beliau yang juga Menteri Besar Terengganu berharap semua pihak tidak membuat spekulasi atau mengaitkan namanya dengan perkara yang tidak berlaku.
Terdahulu, Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan mengesahkan bahawa beliau pernah mengadakan pertemuan dengan Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin di Bangkok tahun lalu bagi membincangkan isu penyatuan parti-parti Melayu dan Islam.
Laporan media turut mendakwa bahawa pertemuan tersebut melibatkan beberapa tokoh politik lain termasuk Ahmad Samsuri dan Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan.
Namun menurut sumber yang dipetik dalam laporan berkenaan, pertemuan tersebut dikatakan lebih tertumpu kepada perbincangan mengenai kerjasama politik dan usaha penyatuan, bukannya bertujuan untuk menukar kerajaan sedia ada.



