KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda PAS Malaysia, Afnan Hamimi Taib Azamudden mengkritik Saifuddin Nasution Ismail yang didakwa tidak memberi perhatian serius terhadap isu besar negara, khususnya berkaitan kontroversi penipuan pemain warisan dalam bola sepak negara.
Menurut beliau, tindakan Menteri Dalam Negeri itu yang dikatakan lebih tertumpu kepada urusan politik di Kulim menimbulkan persoalan mengenai keutamaan sebenar kepimpinan kementerian berkenaan.
“Menterinya (Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail) pula sibuk mengurus ‘Cawangan’ Kulim berbanding mengambil berat isu besar yang sedang dihadapi negara. Jelas sangat tidak kompeten untuk menjaga sebuah kementerian sebesar KDN,” tempelak Afnan.
Afnan yang juga Ahli Parlimen Alor Setar berkata, sehingga kini masih belum ada tindakan tegas daripada Kementerian Dalam Negeri walaupun isu penipuan pemain warisan didakwa melibatkan kesalahan jenayah serius yang menjejaskan reputasi negara di peringkat antarabangsa.
“Lebih mendukacitakan, sejak kes ini dibongkarkan sehingga sekarang, masih tiada tindakan diambil oleh KDN sedangkan kes ini merupakan suatu kesalahan jenayah yang sangat serius,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan mengapa perkara tersebut seolah-olah dibiarkan dan hanya diserahkan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), sedangkan kes berkenaan melibatkan isu pemalsuan dokumen yang sepatutnya berada di bawah bidang kuasa pihak berkuasa.
Dalam pada itu, Afnan menjelaskan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) tidak banyak mengubah keputusan awal yang telah ditetapkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sebelum ini berhubung kes pemain warisan terbabit.
Beliau berkata, isu tersebut boleh dilihat daripada dua sudut utama iaitu proses naturalisasi pemain yang meragukan serta kemungkinan berlakunya penipuan berkaitan dokumen dan sijil kelahiran.
Selain itu, Afnan mempersoalkan kenyataan sebelum ini yang menyatakan proses naturalisasi pemain dibuat mengikut peruntukan undang-undang, sedangkan terdapat pendedahan bahawa sebahagian pemain tidak memahami dokumen yang mereka tandatangani.
Menurutnya lagi, keadaan itu menimbulkan persoalan mengenai ketelusan proses berkenaan, termasuk bagaimana sijil lahir datuk atau nenek pemain boleh dikeluarkan oleh pihak berkuasa sedangkan terdapat dakwaan maklumat yang diberikan tidak tepat.
Isu tersebut timbul selepas CAS mengekalkan penggantungan selama 12 bulan terhadap tujuh pemain warisan skuad Harimau Malaya kerana memalsukan dokumen naturalisasi, selain mengekalkan denda ke atas FAM berhubung kes berkenaan.
Afnan menegaskan bahawa kerajaan perlu memberi penjelasan yang jelas mengenai perkara itu kerana ia bukan sahaja melibatkan isu sukan, tetapi juga menyentuh soal integriti sistem pentadbiran negara.



