KUALA LUMPUR – Pemangku Sultan Johor, Duli Yang Amat Mulia (DYAM) Tunku Ismail Sultan Ibrahim hari ini mendedahkan kewujudan gerakan sabotaj serta kelemahan tadbir urus di dalam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), termasuk penjelasan mengenai kes penggantungan tujuh pemain oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Menerusi satu kenyataan rasmi di platform X, Tunku Ismail yang juga pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) menegaskan bahawa siasatan dan tindakan FIFA tersebut berpunca daripada isu pemalsuan serta kesilapan penyerahan dokumen oleh ejen dan pihak dalaman FAM, bukannya melibatkan soal kelayakan status kerakyatan.
“Mengapa tidak serahkan dokumen yang sah dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)? Kerana mahu selamatkan orang dalam, pemain dipersalahkan.
“Orang dalam patut bertanggungjawab. Bukan lepas tangan dan gunakan penyokong serta media untuk jadikan saya kambing hitam,” titah baginda.
Baginda turut mendakwa terdapat segelintir pegawai di dalam FAM yang tidak berpuas hati kerana gagal memperoleh manfaat atau kepentingan peribadi, terutamanya selepas kerajaan menyalurkan bantuan dana secara terus kepada pasukan kebangsaan. Hal ini didakwa telah mencetuskan kempen sabotaj terancang yang memanipulasi naratif awam.
Menurut Tunku Ismail, campur tangan pentadbiran ini turut menjejaskan pasukan kebangsaan. Baginda mendedahkan insiden unit media FAM enggan memberikan kerjasama kepada struktur baharu Harimau Malaya, selain isu penglibatan berlebihan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) semasa sesi latihan sehingga menimbulkan keresahan ketua jurulatih, Peter.
Susulan daripada pelbagai tohmahan yang dilemparkan, baginda secara terbuka mencabar pihak yang sering memburukkan nama baginda untuk mengambil tindakan menyeluruh secara profesional jika benar mahu menyingkirkan baginda daripada arena bola sepak.
“Inilah masanya untuk tamatkan pengaruh dan kredibiliti saya dalam industri bola sepak tempatan mahupun antarabangsa secara total. Segera gerakkan jentera anda dalam media sosial, media arus perdana, badan induk dan undang-undang. Setakat bercakap atau menulis sahaja tidak akan mengubah apa-apa. Sila bersatu, dan berikan usaha yang lebih meluas,” titah baginda.



