TEHRAN – Iran dilaporkan melancarkan satu lagi gelombang serangan peluru berpandu baharu ke atas sasaran di Israel sebagai sebahagian daripada operasi ketenteraan yang semakin meningkat di Asia Barat.
Menurut kenyataan rasmi Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC), serangan tersebut merupakan sebahagian daripada gelombang ke-35 operasi ketenteraan yang dinamakan “True Promise 4”, yang menyasarkan Israel serta beberapa aset ketenteraan Amerika Syarikat di rantau berkenaan.
IRGC memaklumkan bahawa pelbagai jenis peluru berpandu strategik digunakan dalam serangan tersebut, termasuk Fattah, Emad, Kheibar Shekan, Khorramshahr dan Qadr.
Media Israel pula melaporkan bahawa sekurang-kurangnya satu peluru berpandu mendarat di kawasan Beit Shemesh, di barat Baitulmaqdis, namun ia dilaporkan jatuh di kawasan tidak berpenghuni.
Siren amaran peluru berpandu dilaporkan berbunyi di beberapa kawasan di Israel termasuk sekitar Baitulmaqdis dan kawasan pantai tengah negara itu selepas pelancaran dikesan oleh sistem pertahanan udara Israel.
Ketegangan di Asia Barat terus memuncak selepas siri serangan bersama oleh Israel dan Amerika Syarikat terhadap Iran yang mengorbankan lebih 1,200 orang serta mencederakan ribuan yang lain. Iran kemudian bertindak balas dengan melancarkan serangan dron dan peluru berpandu ke atas beberapa sasaran di rantau tersebut.
Perkembangan ini meningkatkan kebimbangan masyarakat antarabangsa terhadap kemungkinan konflik yang lebih luas melibatkan beberapa negara di Asia Barat.



