MELAKA – Rakyat berisiko menanggung lonjakan kos sara hidup harian sekiranya harga petrol RON95 diapungkan mengikut pasaran antarabangsa, tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut beliau, kerajaan bertekad mengekalkan mekanisme subsidi bahan api itu meskipun terpaksa menampung peningkatan beban kewangan negara susulan lonjakan harga minyak mentah dunia.
Anwar menjelaskan, sekiranya harga diapungkan tanpa sokongan subsidi, pengguna terpaksa menanggung kos tambahan sekurang-kurangnya RM2 hingga RM3, malah berpotensi mencecah RM5 sehari. Bagi isi rumah dengan pergerakan harian yang tinggi seperti berulang-alik ke tempat kerja dan menghantar anak ke sekolah, implikasi kos berkenaan boleh mencecah sehingga RM10 setiap hari.
“Harga pasaran sebenar RON95 kini dianggarkan mencecah antara RM3.80 hingga RM4.00 seliter. Namun, kerajaan memilih untuk mengekalkan harga jualan pada kadar RM1.99 seliter bagi melindungi orang ramai daripada kesan ketidaktentuan pasaran minyak global,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Pelan Tindakan Sara Hidup Negara 2030 (NCLAP30) di pekarangan Kompleks Sukan Hang Jebat, pada Sabtu.
Komitmen berkenaan, jelas Perdana Menteri, menyaksikan anggaran perbelanjaan subsidi bahan api kerajaan boleh mencecah antara RM42 bilion hingga RM45 bilion setahun sekiranya harga minyak dunia berterusan pada paras semasa.
“Lebih baik kerajaan terbeban daripada membebankan rakyat dan ibu bapa kita. Itu dasar Kerajaan Madani yang kita pegang. Ia tidak mudah, tetapi kita harus tangani dengan baik,” tegas beliau.
Dalam ucapan sama, Anwar turut menolak naratif segelintir pihak yang mendakwa pemberian subsidi berterusan menjadikan rakyat terlalu bergantung kepada bantuan kerajaan sehingga melunturkan motivasi bekerja. Beliau menegaskan pandangan sedemikian tersasar daripada realiti sebenar kesukaran yang diharungi golongan pekerja berpendapatan rendah serta masyarakat di kawasan luar bandar.



