MELAKA – Kestabilan politik serta keharmonian masyarakat majmuk menjadi pemacu utama yang meletakkan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan di rantau ini, mengatasi kekangan persekitaran yang turut dihadapi negara-negara jiran.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, keupayaan rakyat pelbagai latar belakang agama dan kaum hidup rukun tanpa persengketaan merupakan kelebihan kompetitif terbesar dalam membina keyakinan pelabur antarabangsa.
“Mengapa sesetengah negara dapat menarik pelaburan, sedangkan sesetengah negara lain tidak? Keadaannya sama, cuacanya sama. Sama-sama kena jerebu.
“Sebab negara ini pelbagai kaum, pelbagai agama, tetapi hidup dengan aman. Kita berbeza, tetapi tidak bermusuh dan saling menghormati,” katanya ketika berucap melancarkan Pelan Tindakan Sara Hidup Negara 2030 (NCLAP30) di pekarangan Kompleks Sukan Hang Jebat, pada Sabtu.
Sehubungan itu, Perdana Menteri mengingatkan para pemimpin politik agar tidak terus bertelagah, memandangkan ketidaktentuan dan perpecahan kepimpinan boleh menghakis kepercayaan modal asing terhadap keupayaan tadbir urus negara.
Menzahirkan keyakinan pelabur terhadap ekosistem negara, Anwar mendedahkan bahawa salah sebuah firma pelaburan terbesar di dunia telah menyatakan komitmen untuk menerokai pelaburan berimpak tinggi dalam bidang kecerdasan buatan (AI), teknologi baharu dan pusat data di Kuching, Sarawak serta Semenanjung Malaysia.
Beliau menyebut nilai potensi pelaburan berkenaan mencecah AS$50 bilion (sekitar RM204 bilion), yang dijangka merancakkan pasaran tenaga kerja tempatan menerusi pembukaan peluang pekerjaan berkualiti tinggi untuk generasi muda.
Pada majlis sama, beliau menegaskan komitmen Putrajaya untuk terus mengutamakan kebajikan rakyat agar tekanan kos sara hidup tidak membebankan isi rumah, selain mengiktiraf usaha proaktif Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyantuni masyarakat hingga ke peringkat akar umbi.



