MELAKA – Barisan Nasional (BN) bertegas tidak akan berganjak daripada ketetapan hanya memperuntukkan tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, sekali gus menepis sebarang cubaan untuk menuntut kerusi tambahan.
Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, formula pembahagian itu merupakan keputusan muktamad yang dicapai menerusi persetujuan bersama kedua-dua pihak sebelum ini.
Beliau menjelaskan, BN akan terus berpegang teguh pada perjanjian awal berkenaan tanpa membuka ruang kepada rundingan baharu.
“Saya dengar ada usaha-usaha pengintaian itu, tetapi kita sudah ada bai’ah, perjanjian bahawa mereka diberikan peluang merangkul tujuh kerusi yang tidak ditandingi BN dan kita serah untuk pengagihan antara parti gabungan dalam PN.
“Setakat ini, itulah yang diputuskan dan kita pegang apa dipersetujui bersama,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Graduasi Huffaz dan Apresiasi Kecemerlangan Ulul Albab di Jalan Hang Tuah, pada Sabtu.
Kenyataan tegas itu hadir susulan kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man pada Jumaat, yang menyuarakan hasrat PN agar rundingan dibuka semula bagi menuntut pertambahan satu hingga dua kerusi DUN lagi.
Menerusi persefahaman politik yang dimeterai sebelum ini, BN memperuntukkan tujuh kerusi tidak ditandinginya kepada Pas serta rakan sekutunya dalam PN, manakala BN sendiri menguasai baki 21 kerusi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan 31 Oktober sebagai tarikh penamaan calon, disusuli pengundian awal pada 10 November dan hari pengundian PRN Melaka ke-16 pada 14 November.



