AYER KEROH – Barisan Nasional (BN) menampilkan strategi gabungan kepimpinan berpengalaman dan tenaga segar apabila mengumumkan senarai 21 calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, menyaksikan pertaruhan lapan muka baharu di samping mengekalkan 13 penyandang sedia ada.
Pengumuman rasmi berkenaan disempurnakan oleh Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, bersempena Majlis Pelancaran Jentera dan Pengumuman Calon BN di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, pada Sabtu.
Percaturan muka baharu gabungan itu menyaksikan penampilan beberapa tokoh di kerusi tumpuan, iaitu Datuk Abdul Hakim Abdul Wahid (DUN Lendu), Ahmad Norazril Abd Aziz (DUN Rembia), S. Nadarajah (DUN Gadek), Datuk Dr Mustafa Musa (DUN Durian Tunggal), Siti Aisyah Mahmood (DUN Pengkalan Batu), Datuk Ridhwan Ali (DUN Ayer Molek), Datuk Azman Abdullah (DUN Serkam) serta Jezlee Pit (DUN Sungai Rambai).
Sementara itu, BN terus meletakkan sandaran kepada barisan kepimpinan utama sedia ada. Ab Rauf disahkan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara, manakala Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem kekal dicalonkan di DUN Duyong.
Turut diberi mandat meneruskan cabaran di kawasan masing-masing ialah Datuk Khaidhirah Abu Zahar (Dira Abu Zahar) bagi DUN Rim, dan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, yang kekal bertanding di DUN Merlimau.



