SHAH ALAM – Ketua Penerangan PAS Selangor, Dr Yusfarizal Yussof menjelaskan bahawa kes melibatkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi merupakan kes kedua dalam rekod guaman di Malaysia yang ditarik balik selepas mahkamah memutuskan wujud prima facie.
Menurut beliau, satu-satunya kes lain yang pernah melalui situasi serupa ialah kes pembunuhan Kim Jong Nam, abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, yang berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 2017.
“Setakat rekod saya dan rakan-rakan peguam, hanya dua kes sahaja yang pernah ditarik balik selepas mahkamah memutuskan prima facie. Pertama kes Siti Aisyah, kedua kes ayahanda Datuk Seri Zahid Hamidi,” katanya dalam satu ucapan yang disiarkan melalui media sosial.
Dr Yusfarizal menjelaskan bahawa kes Siti Aisyah tidak boleh disamakan dengan kes Zahid Hamidi kerana ia melibatkan rundingan diplomatik antara dua negara. Untuk rekod Siti Aisyah adalah warganegara Indonesia.
Beliau berkata, pembebasan Siti Aisyah berlaku hasil perbincangan kerajaan ke kerajaan (G2G) antara Malaysia dan Indonesia, susulan lawatan Presiden Indonesia ketika itu, Joko Widodo, yang mengadakan pertemuan panjang dengan Tun Dr Mahathir Mohamad bagi memohon agar Siti Aisyah dibebaskan dan dibenarkan pulang ke Indonesia.
“Kes itu bukan kes biasa. Ia membabitkan rundingan dua negara. Fakta juga menunjukkan ada kemungkinan Siti Aisyah tidak mengetahui langsung konspirasi pembunuhan tersebut,” jelasnya.
Menurut beliau, atas dasar hubungan diplomatik dan pertimbangan tertentu, Malaysia bersetuju menarik balik pertuduhan walaupun prima facie telah diputuskan oleh mahkamah.
Mengulas lanjut, Dr Yusfarizal memberikan penjelasan ringkas mengenai maksud prima facie dari sudut undang-undang, iaitu tahap di mana pendakwaan telah berjaya membuktikan kes yang lengkap dan mencukupi untuk mensabitkan kesalahan sekiranya tertuduh gagal menangkis bukti tersebut.
“Jika tertuduh tidak membawa sebarang saksi atau bukti untuk menyangkal, mahkamah wajib mensabitkan kesalahan. Bukti sudah lengkap, tinggal peluang kepada tertuduh untuk mempertahankan diri,” katanya.
Dalam kes Zahid Hamidi, beliau menegaskan bahawa pendakwaan telah membawa seramai 99 orang saksi sepanjang perbicaraan yang mengambil masa berpuluh-puluh hari, sekali gus menunjukkan kes tersebut berada pada tahap pembuktian yang serius.
Dr Yusfarizal turut menolak dakwaan bahawa kes tersebut hanya melibatkan penggunaan wang peribadi Zahid Hamidi melalui Yayasan Akalbudi.
“Apabila wang dimasukkan ke dalam yayasan, ia bukan lagi wang peribadi. Selain itu, terdapat enam atau lapan pertuduhan yang melibatkan suapan daripada syarikat Mastoro Kenny Hill Consultant and Services sebagai dorongan untuk meluluskan projek, termasuk projek MYEG,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa perkara tersebut merupakan pertuduhan rasmi di mahkamah dan bukannya dakwaan Zahid Hamidi menggunakan wang sendiri untuk tujuan peribadi.
“Ini bukan cerita Zahid guna duit Zahid. Pertuduhannya ialah Zahid menerima wang sebagai dorongan untuk meluluskan projek,” katanya.
Sertai channel Whatsapp Malaysia Insight untuk berita terkini – klik di sini






